.:M|y| |B|l|u|e| |Z|o|n|e:.

Thursday, November 26, 2009

.:Apabila seorang lelaki memperisterikan seorang gadis...

Apabila seorang lelaki memperisterikan seorang gadis...

agar isterinya dapat menggantikan peranan ibunya…

Sudah lebih 40 hari Ma meninggal dunia, sudah lebih 40 hari jugalah Ummu Muhammad Tasneem meminta saya untuk menulis mengenai Ma.Bukan tak mahu berkongsi, tapi ingatan itu akan membuat saya seperti anak kecil yg menangis berlainan dengan peranan biasa yang egois, mungkin.

Naluri:.

Ma sepanjang ingatan saya selalu nalurinya memahami anak-anaknya, dan Abah.Seakan-akan peka dengan kehendak kami, tindakan dan jadual seharian Ma amat menyenangkan kami adik beradik.Mungkin sebab Ma tidak bekerja dan tumpuannya hanya pada `ahli’nya, membuatkan kami puas bersamanya.

Sayang:.

Tak reti nak menggambarkan sifat sayang Ma.Nak kata Ma tak marah-marah, ada jugak sesekali kena marah.Kena pukul, rasanya kecik-kecik dulupun kena jugak.Itulah sayang Ma, dari segenap sudut.Marah pun ada sayang, pukul pun ada sayang, memandikan pun ada sayang, masak pun ada sayang, bagi makan pun ada sayang, jalan-jalan pun dengan sayang.Walaupun anak-anak dah besar…berkahwin, bagi ibu-bapa mereka tetap anak kecil yg kelaparan… lapar sayang.

Ma akan jadi orang tengah antara kami dengan Abah, walaupun ma bersetuju dengan Abah, akhirnya Ma akan defend anak-anaknya.Anak-anaknya tetap anak kecilnya.Abah pun akan cair dengan `tangan yang menggoncang buaian’ itu…kelemahan logik mengatasi emosi.

Pujuk:.

Bila Abah membentang logik, adakalanya kami akur, adakalanya kami stress…itu sunnah…sunnatullah.Ma berperanan memujuk, bukan setakat kami, Abah pun dipujuk.Senjata Ma adalah masakannya, saya tak pernah melihat Ma menangis hatta bila Abah berkeras dengan logiknya.Hakikatnya bila perut sudah kenyang, semua dapat berfikir dengan waras logik Abah tadi.

Itulah antara kelebihan Ma yang seringkali disebut-sebut Abah sehingga kehari ini, sebut saja nak makan apa, Ma pasti cuba sediakan. Sedikit sebanyak, saya mewarisi Ma dalam bab memasak, Ummu Muhammad Tasneem pun akan tabik spring.Walaupun saya percaya dengan anugerah, saya juga percaya dengan usaha, kalau tak, takde pepatah ‘kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’, ‘man jadda wajada’ , ‘sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit’ – kepada sekalian ummahat – gambatte kudasai.

Rindu saya pada Ma sekarang, kalau rasa tak logik pun takpalah, yang saya tahu, setiap kali saya makan saya akan teringatkan masakan Ma! ‘no more’ air tangan Ma, air tangan Umi pula mengambil peranannya.

Manja:.

Bagi saya, manja saya dengan Ma, kerana Ma telah ‘menguruskan ‘ saya.Ma menguruskan perasaan, menguruskan keperluan kecil hingga besar.

Al-Fatihah:.

Setelah kehilangan Ma menjelang Aidilfitri yang lepas, AidilAdha ini juga diraikan dengan seribu kenangan bersama Ma.

Hjh.Che Azizah Bt Mohamed (1941~2009)

Meninggal dunia pada 27 Ramadhan selepas Isya’ 1430 H (Malam Jumaat).

Disembahyangkan selepas Solat Jumaat 28 Ramadhan 1430 H di Masjid Muhammadi Kota Bharu.

Dikebumikan pada hari Jumaat 28 Ramadhan 1430 H di Perkuburan Raja Udang, Jalan PCB.

Semoga Allah mengampunkan segala dosaku dan dosa kedua ibu bapaku, kasihini mereka sepertimana mereka mengasihaniku semasa kecil.